Gugurkan Pertuduhan Terhadap Lima Orang Mahasiswa USM
Kami, Pemuda DAP Pulau Pinang, mendesak supaya pihak pentadbir Universiti Sains Malaysia (USM) menggugurkan pertuduhan tanpa syarat dengan serta merta terhadap lima orang mahasiswa-mahasiswi di bawah Kaedah USM (Tatatertib Pelajar) 1999.
Kelima-lima pelajar tersebut telah diminta untuk menghadiri satu prosiding tatatertib pada 27hb Februari 2006 (Isnin) untuk menjawab pertuduhan secara berasingan iaitu melakukan kesalahan mengedar risalah atau memberi kenyataan kepada wartawan akhbar tanpa kelulusan Naib Canselor terlebih dahulu.
Hukuman berat boleh dikenakan ke atas mereka termasuk menggantung status sebagai pelajar untuk tempoh tertentu dan hukuman maksimum ialah dipecat dari Universiti.
Pertuduhan ke atas kelima-lima pelajar USM tersebut adalah bercanggah dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perisytiharan Antarabangsa berkenaan Hak Asasi Manusia 1948 dan Perlembagaan Persekutuan.
Kami ingin menarik perhatian umum kepada petikan wawancara Naib Canselor USM, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak yang diterbitkan di mukasurat 4 akhbar New Straits Times (NST) bertarikh 20hb Februari 2006 yang berbunyi antara lain:
“ … with the Universities and University colleges Act hanging over their heads, students are afraid to articulate their thoughts”
Pendapat Naib Canselor USM tersebut sebenarnya adalah selari dengan apa yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 7hb Februari 2006. Dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Pentadbir Universiti-universiti yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara, baginda bertitah, antara lain,
“University administrators must be prepared to listen to ideas from others although these might not be in line with their aspirations. Silent culture is not a healthy culture in an institution of higher education” dilaporkan oleh Bernama.
Pertuduhan ke atas lima orang mahasiswa adalah bercanggahan dengan titah oleh Yang di-Pertuan Agong yang pernah menjadi Canselor USM. Malahan, Prof Naib Canselor juga mengakui Akta Kolej dan Kolej Universiti 1971 merupakan satu bebanan ke atas pelajar sehingga mereka takut untuk menyatakan pendapat mereka.
Kami berpendapat universiti adalah sebuah tempat untuk melatih pemuda-pemudi kita untuk membaca, berfikir, mengeluarkan pendapat serta bersosial. Mahasiswa hendaklah diberi ruang lingkup luas. Sebarang kekangan birokrasi harus dielakkan sama sekali.
Kaedah 12(1) Kaedah USM (Tataterib Pelajar) 1999 menyebut:
“Tiada pelajar….. tanpa kebenaran terdahulu Naib Canselor, boleh menerbitkan, membahagi-bahagikan atau mengedarkan apa-apa dokumen-dokumen di dalam Kampus atau di luar kampus."
Kaedah 15 pula adalah berkenaan sekatan representasi berhubungan dengan Universiti.
Kami berpendapat kedua-dua kaedah tersebut adalah ultra vires (bercanggahan) dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan kerana mengenakan sekatan yang terlampau luas dan tidak sah dari segi undang-undang terhadap kebebasan bersuara.
Adakah ini bermaksud seseorang mahasiswa perlu mendapatkan kebenaran Naib Canselor setiap kali dia menulis emel, mengemaskinikan halaman web atau blog? Kegiatan yang disebutkan tadi adalah terjumlah kepada penerbitan, pembahagian, pengedaran dokumen serta representasi berhubungan dengan Universiti. Ini sememangnya kerenah birokrasi tahap tertinggi dan merupakan satu bebanan atas kepala mahasiswa seperti yang disebutkan oleh Prof Naib Canselor. Sekira kita meneliti ungkapan Prof Naib Canselor di NST, beliau sememangnya memberikan kebenaran tersirat dan menyahut titah Yang dipertuan Agong.
Dengan ini, kami, Pemuda DAP Pulau Pinang, menuntut supaya
kelima-lima pelajar tersebut dilepaskan daripada pertuduhan tanpa syarat dan dengan serta-merta.
Kaedah USM (Tatatertib Pelajar) 1999 dan Akta Kolej dan Kolej Universiti 1971 digantikan dengan perundangan baru demi memberikan nafas baru kepada universiti-universiti awam di negara ini.
Perundangan yang baru harus berorientasikan kebebasan akademik dengan penekanan untuk melahirkan budaya membaca, berfikir, berkomunikasi supaya mahasiswa kita dapat bersaing dengan mahasiswa universiti yang bertaraf dunia.
Kenyataan Media Pemuda DAP Pulau Pinang
http://www.dappenang.org/hottopic-254.htm
oleh saudara Wong Hon Wai
Komen daripada saya:
Harapkan semua mahasiswa khususnya dari USM sendiri dapat memberi sokongan atau semangat kepada mangsa penindasan atau penyalahgunaan AUKU oleh pihak pentadbiran universiti. Prihatian para mahasiswa adalah amat dihargai dan disanjungi demi memperjuangkan kebebasan akademik.
Perbicaraan pada 27hb Feb 2006 (Isnin) ini telah ditunda.
No comments:
Post a Comment